Lapuran terkini kes demam denggi sehingga 8 June adalah seperti berikut :
“TIGA KES KEMATIAN DENGGI DALAM MASA SEMINGGU”
Dalam tempoh seminggu sahaja, tiga (3) kematian Denggi dilaporkan iaitu masing-masing satu di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka menjadikan jumlah kumulatif kematian Denggi sehingga kini sebanyak 22 berbanding 21 kematian pada tahun lepas.
Jumlah kes yang dilaporkan bagi tempoh Januari sehingga 10 Jun tahun ini telah pun melebihi jumlah kes dilaporkan pada tempoh sama tahun 2012. Dalam tempoh ini , sejumlah 10,910 kes telah dilaporkan pada 2013, berbanding 10,706 kes bagi tempoh yang sama tahun 2012, iaitu peningkatan sebanyak 2% (204 kes).
Tren peningkatan kes telah dilihat dengan ketara di Johor sejak pertengahan bulan April 2013 dan terdapat juga negeri lain yang mengalami trend peningkatan kes seperti WPKL-Putrajaya dan Selangor sejak sebulan lepas.
Tiga kes kematian yang dilaporkan pada minggu lepas iaitu terdiri daripada 2 orang kanak-kanak berusia satu tahun dari P.Pinang dan Melaka. Manakala seorang lagi adalah suri rumah berasal dari Selangor. Kesemua kes ini meninggal akibat komplikasi denggi iaitu Dengue Shock Syndrome.
Punca jangkitan yang dikenal pasti adalah dikediaman pesakit yang tidak bersih dan mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi iaitu diantara 3% hingga 4.5%. Pembiakan dijumpai di singki yang dibuang di belakang rumah dan didalam alas pasu bunga. Ini jelas menunjukkan denggi menyerang tanpa mengenal usia. Oleh itu. pencegahan dengan mempastikan tiada bekas bekas menjadi tempat pembiakan dipersekitaran kediaman, dapat menyelamat kan banyak nyawa.
Usaha berterusan Kementerian
Pada masa kini, pendekatan KKM adalah lebih tertumpu kepada usaha dalam aktiviti pengawasan setempat yang dilakukan di kawasan bermasalah serta tindakan kawalan sebagai pendekatan utama bagi menbendung penyakit demam Denggi.
Sistem Pengurusan Wabak Denggi (SPWD) merupakan satu projek kerjasama antara Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bermula pada pertengahan tahun 2011. Pengoperasian sistem ini berteraskan kepada penggunaan teknologi remote sensing secara web-based, GIS dan teknologi berkaitan sebagai usaha membantu pihak KKM membuat pemantauan dan pengurusan wabak denggi dengan lebih berkesan secara spatial dan online.
Faktor cuaca mempengaruhi peningkatan kes denggi
Secara umumnya keadaan cuaca di Malaysia dari Jun hingga Disember adalah beriklim panas dan daripada analisa Kementerian Kesihatan pula bagi tempoh 5 tahun kebelakangan ini menunjukkan peningkatan kes Denggi sering berlaku di antara bulan Jun hingga September setiap tahun. Kes demam Denggi adalah berkait rapat dengan faktor cuaca dan umumnya nyamuk Aedes dari segi biologinya dipengaruhi oleh suhu semasa dan jumlah air yang tersedia.
Kadar gigitan dan proses pembiakan nyamuk akan lebih kerap berlaku dalam suhu yang tinggi, nyamuk Aedes juga akan mengalami proses tumbesaran daripada larva ke dewasa dengan lebih cepat dalam keadaan ini. Dengan pada itu proses gigitan dan pembiakan juga meningkat dalam keadaan suhu yang panas. Keadaan ini akan menjadikan populasi nyamuk berganda dalam tempoh yang singkat dan penyebaran penyakit ini akan lebih tinggi.
No comments:
Post a Comment